Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pasukan tuan rumah boleh memilih untuk berbuat demikian atau sebaliknya tanpa sebarang paksaan daripada MFL.

Menurut beliau, MFL memperkenalkan kaedah itu mengambil kira tambahan kos yang perlu ditanggung oleh pasukan tuan rumah seperti kawalan keselamatan setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak.

Tambah beliau, kenaikan 20 peratus yang dibenarkan itu juga merupakan paras standard untuk setiap pasukan tuan rumah sekiranya perlu menaikkan harga tiket kerana MFL tidak mahu ada yang mengambil kesempatan mengenakan harga lebih tinggi kepada pasukan pelawat.

“Kita harap tidak ada mana-mana pihak khususnya penyokong yang keliru dengan keputusan ini kerana kita tidak mahu ada pasukan tuan rumah yang menaikkan harga tiket kepada pasukan pelawat dengan sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam di sini hari ini.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac lalu membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah untuk memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan rasa kurang senang penyokong bola sepak tempatan ya g menyifatkannya sebagai tidak adil dan membebankan sekali gus mengurangkan kehadiran peminat sukan berkenaan ke stadium.

Difahamkan, pasukan bola sepak Kedah menjadi pasukan tuan rumah pertama mengenakan harga tiket dengan kenaikan 20 peratus itu kepada penyokong pasukan pelawat dalam perlawanan Liga Super menetang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam tadi.

Sementara itu, ketika ditanya pendirian FAM berhubung kenaikan harga tiket tersebut, Stuart Ramalingam berkata, beliau perlu meneliti lebih lanjut berhubung perkara tersebut.

Ini kerana, katanya, buat masa ini, perkara itu hanya diketahui menerusi laporan media sosial sekali gus tidak adil untuk beliau membuat sebarang kenyataan lanjut. - UTUSAN ONLINE