Dua jaringan Bertrand Traore dan gol menerusi Kasper Dolberg serta Amin Younes memastikan kelab Belanda itu memenangi aksi di Amsterdam, sekali gus membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Perancis pada 11 Mei ini.

Menurut Bosz, kejayaan pasukannya memanfaatkan peluang di awal permainan adalah kunci utama kemena­ngan mereka di depan penyokong sendiri.

“Perlawanan ini sebenarnya agak pelik.

“Saya rasa kami bermain buruk pada 15 hingga 20 minit pertama selepas diasak hebat oleh Lyon. Kami gagal beraksi mengikut permainan sebenar.

“Bagaimanapun kami berjaya memanfaatkan dua peluang yang hadir dan tiba-tiba mendahului 2-0, walaupun kelihatan seperti tertekan sepanjang perlawanan.

“Ia turut dibantu sokongan padu penonton. Sesuatu yang indah berlaku hari ini,” kata Bosz dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Penyerang Burkina Faso, Traore yang dipinjamkan dari Chelsea membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-25.

Dia kemudian mencipta gerakan gol ke­dua apabila melakukan hantaran untuk di­sempurnakan oleh pe­nyerang remaja Denmark berusia 19 tahun, Dolberg pada minit ke-34.

Empat minit selepas babak kedua bersambung, Younes menambah gol ketiga Ajax, namun Mathieu Valbuena memberi sedikit harapan buat Lyon dengan meledak gol di tempat lawan pada minit ke-66.

Ajax yang menurunkan ramai pemain muda melengkapkan kemenangan 4-1 menerusi jaringan Traore pada minit ke-71.

“Kami berada di posisi yang baik, namun ada 90 minit lagi me­nunggu di Perancis. Pemain perlu fokus dan tidak terbawa-bawa dengan kemenangan ini,” kata Bosz, yang mengakui perlawanan sepatutnya boleh berakhir dengan 7-3 atau 8-4.

Sementara itu, jurulatih Lyon, Bruno Genesio menegaskan, pa­sukannya perlu percaya bahawa keajaiban boleh berlaku, biarpun sedar peluang untuk ke final semakin getir.

“Kami perlu percaya tiada apa yang mustahil di dunia.

“Bagaimanapun, kami juga kena terima hakikat ia tidak mudah,” kata Genesio. – AGENSI