Tendangan voli Xherdan Shaqiri terkena bahu adik Evans, Corey ketika pemain tengah Ireland Utara itu cuba menghalang rembatan tersebut.

Pengadil Romania, Ovidiu Hategan bagaimanapun menghadiahkan sepakan penalti, sekali gus menimbulkan kemarahan pemain Ireland Utara di Windsor Park.

Ricardo Rodriguez mudah menyempurnakan tendangan pada minit ke-58 untuk kelebihan gol di tempat lawan, sekali gus meletakkan Switzerland pada kedudukan baik menjelang aksi timbal balik, 12 November depan.

Pada 2009, penyerang Perancis, Henry dengan sengaja menggunakan tangannya untuk mengawal bola sebelum gol disempurnakan rakan sepasukan, sekali gus membantu Les Bleus layak ke Piala Dunia 2010 dengan Republik Ireland menjadi korban insiden berkenaan.

“Ia keputusan terburuk kerana diputuskan sendiri oleh pengadil.

“Kalau dia tidak melihat insiden itu (tetapi) mendakwa melihatnya dengan jelas, maka keadaan sukar diterima akal.

“Ia memang pelik kerana saya dapat merasakan pengadil sedar bahawa dia telah melakukan keputusan salah dan saya yakin dia disalurkan maklumat sepanjang perlawanan.

“Dia sendiri boleh melihat berdasarkan reaksi orang lain bahawa dia telah membuat satu keputusan yang salah,” kata Evans.

Pengurus Ireland Utara, Michael O'Neill melahirkan kekecewaan ekoran ketiadaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) sepanjang playoff Piala Dunia.

“Ia memang mengejutkan apabila insiden seumpama ini berlaku pada perlawanan di peringkat ini yang mana keputusan tersebut telah mengubah segala-galanya.

“Saya menghabiskan masa selama tiga jam dalam satu persidangan di FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa)untuk mendengar mengenai VAR.

“Sudah tentu apabila anda melihat insiden ini berlaku malam ini (awal pagi waktu Malaysia), anda pasti menyokong teknologi itu diguna pakai,” kata O'Neill.

Sementara itu, Crotia meletakkan ‘sebelah kaki’ ke Piala Dunia di Rusia tahun depan selepas menang selesa 4-1 ke atas Greece dalam aksi pertama playoff di Stadium Maksimir, Zagreb.

Jaringan tuan rumah disempurnakan oleh bintang tengah Real Madrid, Luka Modric (penalti minit ke-13), Nikola Kalinic (minit ke-19), Ivan Perisic (33) dan Andrej Kramaric pada minit ke-49.

Gol tunggal Greece pula dihasilkan oleh Sokratis Papastathopoulos pada minit ke-30. – AP