Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Firdaus Mohamad berkata selepas pentadbiran kerajaan Malaysia diambil alih oleh Pakatan Harapan, dia tidak pasti sama ada Annuar berkemampuan untuk memohon dana yang banyak daripada mereka atau sebaliknya.

“Saya tidak nampak kekuatan Annuar dan saya tidak tahu hubungannya dengan kerajaan yang memerintah. Bola sepak memerlukan banyak duit dan jika Annuar menang, daripada mana beliau ingin mencari duit?

“Sekarang bukan Barisan Nasional yang memerintah pentadbiran kerajaan Malaysia dan saya bimbang kelak akan menimbulkan masalah kewangan. Secara logik, Barisan Nasional sudah tumbang dan saya tidak tahu sama ada kerajaan sekarang boleh tolong beliau atau tidak.

“Macam mana beliau nak dapatkan duit, saya tidak pasti. Berbeza dengan seorang lagi calon iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mempunyai hubungan akrab dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) boleh membantu beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar mengesahkan pencalonannya untuk bertanding jawatan Presiden FAM bersama seorang lagi calon iaitu Hamidin.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Firdaus yang merupakan Exco FAM berkata, dia menghormati keputusan Annuar malah mengambil sudut positif di mana badan induk tersebut mengamalkan sikap demokrasi.

“Annuar dicalonkan oleh KLFA (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur) dan beliau pun setuju untuk bertanding jadi kita tidak boleh menafikan hak beliau. Cuma, apabila sudah ada pertandingan dua penjuru itu menunjukkan presiden baharu nanti tidak akan mendapat laluan mudah di mana mereka tidak akan diberi kemenangan percuma,” katanya.