Keputusan itu menyaksikan Barcelona hanya memiliki kelebihan tujuh mata di depan dengan aksi musim ini berbaki 15 perlawanan. Ini keputusan seri kedua berturut-turut dicatat kelab Catalan itu selepas turut diikat Espanyol 1-1 minggu lalu.

Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde berkata, faktor keletihan akibat ja­dual padat punca anak-anak buahnya gagal mencatat keputusan baik di depan penyokong sendiri.

Memiliki deretan bintang seperti Lionel Messi dan Luis Suarez, Barcelona bagaimanapun gagal mengatur banyak percubaan bahaya.

Jaringan Suarez hasil sepakan percuma Messi di penghujung babak pertama juga dibatalkan kerana ofsaid.

“Kami tidak segar dan gagal mendapatkan rentak, terutama pada separuh masa pertama.

“Getafe adalah pasukan yang mampu menyekat anda daripada bermain de­ngan rentak permainan sendiri.

“Kami mengharungi jadual yang sangat padat dan baru melangkah ke final (Copa del Rey,” kata Valverde kepada laman web rasmi Barcelona.

Walaupun berusaha keras mencari gol kemenangan sehingga minit-minit akhir, Barcelona sukar menembusi benteng Getafe.

Ini termasuk tandukan Suarez yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan sebelum memasuki masa kecederaan. – AFP