Pengendali The Bos Gaurus, Mehmed Durakovic berkata, perlawanan cukup penting itu juga bakal menjadi pengalaman terbaik buat barisan pemain muda anak buahnya untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.

"Kitchee merupakan juara tahun lalu (Liga Hong Kong), mereka mempunyai pengalaman beraksi dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta memiliki kekuatan pasukan termasuk penyerang serta pemain tempatan. Jadi, ia adalah perlawanan cukup besar bagi kami dan sudah pastinya ia bukan mudah.

"Saya harap pemain-pemain saya tidak akan gementar dan memberikan aksi terbaik walaupun terdapat sebilangan pemain yang cedera," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kapten Perak, Mohd Shahrul Mohd Saad berkata, kelebihan bermain di laman sendiri harus dimanfaatkan bagi membuktikan The Bos Gaurus juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Sasaran kita adalah untuk mencapai kemenangan, justeru kita akan berusaha habis-habisan untuk mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kitchee, Alex Chu tidak mendabik dada apabila turut menjangkakan laluan kemenangan tidak mudah buat skuad bimbingannya ekoran Perak juga memiliki pasukan hebat termasuk pemain penyerangnya.

Bagi memberikan saingan hebat, Kitchee mempertaruhkan penyerang import dari Brazil, Lucas Silva, 28, yang merupakan penjaring terbanyak dalam Liga Hong Kong dengan sumbatan lapan gol pada musim ini.

"Biarpun cuaca di sini agak panas, saya merasakan ia bukanlah suatu masalah besar buat kami. Saya berharap dapat melakukan yang terbaik walaupun ini merupakan aksi pertama saya di peringkat ACL," kata Lucas yang menyertai Kitchee selama dua tahun. - UTUSAN ONLINE