Perkara tersebut didedahkan oleh pengarah teknikal The Red Warriors (TRW) Jorg Peter Stainebrunner selepas skuad kendaliannya itu mengharungi dua aksi persahabatan menentang Terengganu FC 1 (TFC 1) dan Kedah baru-baru ini.

Stainebrunner berkata, aksi persahabatan menentang TFC 1 dan Kedah memperlihatkan kelompongan di bahagian berkenaan walaupun Kelantan mampu memberikan cabaran kepada pasukan terbabit.

“TRW perlu mencari seorang penyerang yang mampu membantu pasukan menjaringkan gol apabila rakan sepasukan lain mencipta peluang itu.

“Saya tidak mahu yang hanya sekadar menjadi penumpang dalam pasukan dan tidak mampu menjaringkan gol,” katanya.

Stainebrunner memberitahu, dia berharap masalah itu akan diatasi segera sebelum saingan bermula.

Katanya, buat masa ini dia sedang menguji pemain import bagi memenuhi keperluan pasukan.

Ketika ini, Kelantan sedang menguji pemain dari Afganistan Mustafa Zazai yang beraksi di posisi serangan.

Untuk rekod, sepanjang dua perlawanan tersebut Kelantan hanya mampu menjaringkan dua gol iaitu satu gol ketika memperolehi keputusan seri 1-1 menentang pasukan TFC 1 dan satu gol ketika tewas 1-4 kepada Kedah. - UTUSAN ONLINE