MOHD. BADHRI RADZI
MOHD. BADHRI RADZI

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Husin Deraman ketika dihubungi di sini hari ini.

Husin berkata, Sabtu ini Kafa hanya mengumumkan pemain tempatan yang akan membarisi pasukan Kelantan pada musim hadapan.

“Mengenai pemain luar, kami belum buat keputusan berhubung perkara tersebut. Jadi kami tidak boleh beritahu siapa yang akan menyarung jersi Kelantan buat masa ini,” kata­nya.

Difahamkan, antara muka lama yang bakal kekal bersama The Red Warriors (TRW) mu­sim depan ia­lah kapten Mohd. Badhri Radzi, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Khairul Fahmi Che Mat selain kepulangan semula pemain yang dipinjamkan kepada Ne­geri Sembilan, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim.

Husin turut menafikan kha­bar angin ketua jurulatih Home United FC, Aidil Sharin berminat melatih pasukan itu.

Katanya, selepas rundingan dengan Velizar Popov me­nemui jalan buntu tempoh hari, Kafa menerima permohonan jurulatih asing untuk membimbing Kelantan pada musim 2018.

“Tapi setakat ini, Kafa masih mengekalkan Sathit Bensoh untuk memangku tugas jurulatih TRW,” ujarnya.

Sementara itu, Husin mempertahankan pendirian Kafa mengadakan pemilihan pemain amatur untuk diserap ke dalam TRW sekalipun dikritik keras oleh bekas pemain.

Katanya, pendekatan itu bukan langkah undur ke belakang sebaliknya memberi kebaikan kepada pembentukan pasukan untuk masa depan.

“Kami hantar surat kepada persatuan bola sepak jajahan (PBJ) dan minta mereka hantar lima pemain terbaik yang dirasakan layak menyertai pemilihan tersebut. Lagipun pemilihan ini dibuat atas permintaan PBJ sendiri.

“Saya tak rasa cara kita ini kekampungan kerana dibuat secara tertutup. Kalau ada pemain berpotensi, tak mustahil boleh diserap ke dalam skuad senior, tetapi kita lihat ada dua tiga pemain boleh dipilih ke dalam skuad Piala Presiden dan Piala Belia,” katanya.