Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Cassio menjadi pemain import kedua selepas penyarang kelahiran Korea Selatan, Do Dong-Hyong mengikat kontrak bersama TRW minggu lalu.

Menurutnya, tonggak kelahiran Sao Paulo, Brazil itu mengikat kontrak setahun dengan pilihan tambahan setahun lagi sekiranya memperagakan aksi mantap pada musim 2018.

“Kita pilih Cassio kerana aksi mantap yang dipamerkan bersama pasukan terdahulu selain usianya yang masih muda.

“Bukan itu sahaja, dia juga bebas daripada kecederaan hasil ujian yang kita jalankan ke atasnya sebelum ini,” kata Bibi Ramjani kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan dan Rakan Niaga Kafa Musim 2018 di sini hari ini.

Katanya lagi, Kafa akan melengkapkan kuota lima pemain import untuk musim depan bagi memastikan pasukan itu mampu memberikan saingan dalam Liga Super. - UTUSAN ONLINE