Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, sehingga kini seramai 20 pemain telah disenaraikan untuk membarisi pasukan Kelantan pada musim hadapan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya seorang pemain import yang dikekalkan bersama pasukan iaitu Morgaro Gomis.

"Majoriti pemain yang membarisi pasukan Kelantan pada musim hadapan adalah pemain muda yang terdiri daripada skuad Piala Presiden.

"Pemain senior tidak ramai yang dikekalkan, manakala tiga pemain iaitu kapten Mohd. Badhri Radzi, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Indra Putra Mahayudin sedang dalam rundingan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kafa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan

Antara muka lama yang kekal bersama The Red Warriors (TRW) musim depan ialah Khairul Fahmi Che Mat, Faizol Nazlin Sayuti,Farisham Ismail,  Faris Shah Rosli serta kepulangan semula pemain yang dipinjamkan kepada Negeri Sembilan, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim.

Skuad itu juga diperkukuhkan dengan kehadiran pemain Piala Presiden iaitu Mohd Danial Asyraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Mohd Syaiful Alias dan Mohd. Imran Samso.

Pemain senior yang digugurkan adalah Nor Hafiz Zamani Misbah, Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitri Ishak, S. Subramanian, Aziz Ismail, Hasmizan Kamaruddin dan tiga pemain import. - UTUSAN ONLINE