NORAZMAN ABBAS

Norazman berkata sekiranya langkah tersebut dilihat mampu memberi kesan yang positif kepada FAS, SSFC me­nyambut baik dan berharap semua individu yang mempunyai kedudukan dalam badan induk tersebut memainkan peranan mereka dalam melaksanakan saranan tersebut.

“SSFC menyambut baik cadangan Tengku Amir Shah me­ngenai penambahbaikan yang perlu dibuat oleh FAS dan saya fikir jika saranan tersebut mampu memberi kesan dan impak yang positif apa salahnya.

“Bagi saya, dengan cada­ngan tersebut bermakna tiada mana-mana individu yang akan mendominasi sesuatu jawatan untuk tempoh yang lama. Itu bermakna akan sentiasa ada idea yang segar dalam FAS.

“Bagaimanapun, itu semua terpulang kepada FAS sama ada mereka mahu melakukannya atau tidak. Apa yang penting adalah prestasi pasukan Sela­ngor sentiasa dipertingkatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Tengku Amir menyarankan kepada FAS agar melakukan rombakan drastik selain mengemukakan tujuh langkah pembaharuan, termasuk mengehadkan tempoh menjawat jawatan Presiden kepada hanya dua penggal sebagai langkah penambahbaikan.

Tengku Amir menerusi laman Instagramnya @rmse­la­ngor memberitahu, rombakan itu perlu dilakukan untuk mewujudkan barisan pengurusan cekap yang meletakkan pembangunan bola sepak me­ngatasi kepentingan peribadi individu-individu tertentu.

Antara cadangan yang diutarakan Tengku Amir termasuk jawatan Presiden tidak boleh dipegang melebihi dua penggal dan individu yang ingin menduduki kerusi itu tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik.

Ahli gabungan turut disaran untuk menjadi lebih aktif dalam membantu pembangunan bola sepak negeri termasuk me­nyampaikan laporan berkala kepada FAS.