Presiden Die Hard Fan Perak, Roslan Mat Baharom berkata, pihaknya menyokong penuh Ahmad Faizal menggalas tanggungjawab tersebut setelah Hasnul Zulkarnain mengumumkan perletakan jawatannya semalam.

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada pemimpin itu untuk menerima cadangan tersebut ataupun meletak individu lain bagi jawatan itu.

"Dalam keadaan sekarang, kami sebagai penyokong telah berbincang dan bersatu hati dengan mencadangkan Menteri Besar sebagai presiden baharu dan memberi sokongan penuh kepada beliau.

"Biarlah orang nombor satu menjadi pemimpin Pafa yang baharu. Kami berharap beliau akan terima cadangan ini dan terima segala keputusannya," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam majlis itu enam kelab penyokong bola sepak menyatakan sokongan iaitu Die Hard Fan Perak, Ipoh City Fan, Kelab Peminat Bola Sepak Perak, Pafa Fan Club Batu Gajah, Support Fan of Perak dan Seladang Fan Club.

Menurut beliau, mereka melihat perlantikan Ahmad Faizal bagi jawatan itu dapat membantu pembangunan bola sepak negeri secara lebih holistik.

"Apabila beliau menjadi presiden, kami melihat ia dapat memudahkan penyaluran sumbangan dan penajaan daripada sektor korporat dan swasta bagi kemajuan sukan nombor satu negara.

"Malah peranan kerajaan negeri dalam membangunankan sukan secara holisfik dapat mengelakkan salah tadbir dan ketelusan pentadbiran Pafa yg sering disalah tafsir oleh peminat bola sepak," katanya. - UTUSAN ONLINE