Penjualan terbesar dalam tempoh perpindahan ini adalah apabila Neymar dibeli oleh PSG dengan harga rekod dunia 222 juta euro manakala Chelsea pula berbelanja 80 juta euro untuk mendapatkan Alvaro Morata daripada Real Madrid.

Akhbar harian sukan Marca melaporkan semalam bahawa kelab-kelab La Liga secara puratanya mencatatkan keuntungan hampir 95 juta euro.

Kelab-kelab Sepanyol telah mendominasi pertandingan di Eropah dalam beberapa musim lalu dengan Barcelona dan Real memenangi Liga Juara-juara untuk empat tahun kebelakangan.

Bagaimanapun, perlu juga dinyatakan bahawa perpindahan Neymar merupakan kes pertama dua kelab gergasi Sepanyol itu kehilangan salah seorang pemain paling bernilai mereka kepada kelab asing sejak Ronaldo menyertai Inter Milan pada 1997.

Perpindahan Neymar bermakna Barcelona juga muncul sebagai kelab yang berbelanja paling banyak dalam usahanya untuk mencari pengganti dalam usaha membina semula pasukan tanpa bintang Brazil itu.

Sementara Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu didesak oleh penyokong supaya meletak jawatan, kelab Catalan itu membelanjakan sebanyak 192.5 juta untuk mendapatkan lima pemain - Marlon Santos, Nelson Semedo, Gerard Deulofeu, Paulinho dan Ousmane Dembele. – AFP