Mungkin itu antara yang bermain di fikiran pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee yang pening kepala menjelang Kejohanan AFF B-22 selepas lima daripada 26 pemain yang dipanggil tidak dilepaskan pa­sukan masing-masing.

Kejohanan di Kemboja itu akan bermula pada 17 Februari ini, namun Kim Swee kini ha­nya memiliki dua pemain untuk mengisi posisi tengah.

Menurut Kim Swee, situasi tersebut menyebabkan beliau berdepan masalah untuk memiliki barisan terkuat kerana ha­nya ada Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhammad Danial Haqim Draman, yang kedua-dua­nya adalah tonggak Kelantan.

Tiga lagi pemain tengah Fai­sal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) Serta Fadzrul Daniel Nizam (Kedah) tidak dilepaskan pasukan mereka.

Dua lagi pemain yang turut gagal mendapat pelepasan adalah dari Felda United iaitu Muhammad Danial Amier Norhi­sham dan Muhammad Zahril Azri.

“Agak merunsingkan saya ketika ini adalah bahagian tengah kerana kami hanya ada dua pemain iaitu Nik Akif dan Danial.

“Saya akan memanggil beberapa lagi pemain lain untuk mengisi kekosongan itu selain posisi lain agar kami dapat kepelbagaian di setiap posisi,” katanya selepas latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini.

Sementara itu, penyerang muda negara, Hadi Fay­yadh memberitahu, kelabnya di Jepun sangat berbesar hati untuk memberi kebenaran kepadanya menggalas cabaran pasukan kebangsaan.

“Pasukan bangga apabila saya dipanggil dan mereka berikan sokongan penuh.

“Bagi pemain di sana, tidak semua berpeluang untuk bersama pasukan kebangsaan,” katanya.