Data daripada Deloitte’s Sports Business Group menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus daripada rekod lama yang dicatatkan pada musim panas lalu. Perbelanjaan mampu meningkat lebih tinggi jika beberapa percubaan pembelian berlangsung seperti dirancang.

Walau bagaimanapun, kelab-kelab Liga Perdana tidak perlu meminjam wang daripada bank kerana mereka memiliki pendapatan besar hasil perjanjian penyiaran tempatan dan luar negara.

“Apabila menganalisis dari segi pendapatan hak penyiaran, iklan dan penjualan tiket, kelab-kelab Liga Perdana ber­belanja dalam lingkungan kemampuan mereka.

“Selama 15 tahun ini, perbelanjaan tahunan ke atas pembelian pemain kekal berada di tempat ketiga hingga kelima, iaitu purata sekitar suku, daripada jumlah keseluruhan pendapatan,” kata Dan Jones, dari Deloitte’s Sports Business Group.

Berdasarkan anggaran, 1.4 bi­lion pound (RM7.7 bilion) yang dibelanjakan untuk pembelian baharu mewa­kili kira-kira 31 peratus daripada jumlah pendapatan setiap kelab EPL.

Kelab-kelab Serie A membelanjakan 735 juta pound (RM4.04 bilion) yang merupakan angka kedua terbesar, diikuti oleh Ligue 1 (590 juta pound, RM3.2 bilion), Bundesliga (510 juta pound, RM2.8 bilion) dan La Liga (500 juta pound, 2.8 bilion), di mana tempoh perpindahan ditutup pada Jumaat. – REUTERS