United mengalami kekalahan kelima dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini hasil jaringan Matt Ritchie pda minit ke-65, sekali gus menyaksikan Mourinho terus gagal mencatat kemenangan dalam tujuh kunjungan ke St James’ Park.

Kekalahan itu bermakna Manchester City semakin jauh mengungguli liga dengan kelebihan 16 mata selepas mengumpul 72 mata, manakala Liverpool yang mengalahkan Southampton 2-0 menghambat United di tangga ketiga dengan dua mata di belakang.

Enggan mengkritik pemainnya, Mourinho sebaliknya memuji persembahan pasukan tuan rumah yang menampilkan aksi terbaik.

“Mereka (Newcastle) berjuang seperti haiwan, jangan salah faham itu satu pujian. Newcastle memberi segala-galanya yang ada dan tuah menyebelahi mereka dalam perlawanan ini.

“Perkara yang sama tidak berlaku kepada kami. Pemain kami juga cuba memberikan semua yang mereka ada, tetapi inilah keindahan bola sepak. Kami sudah berikan segala-galanya dan bermain lebih baik daripada lawan tetapi tetap gagal menang.

“Ya, kami melakukan kesilapan pertahanan. Membenarkan sepakan bebas diberi kepada lawan (punca gol kemenangan Newcastle) dan apabila mereka berada di depan, mereka memastikan gawang tidak dibolosi.

“Namun, keputusan perlawanan tidak ha­nya bergantung kepada mereka (Newcastle) tetapi juga ditentukan oleh takdir. Mereka menang dengan cantik, kami kalah dengan begitu indah, inilah bola sepak,” kata Mourinho kepada Sky Sports.

Mourinho bagaimanapun enggan mengkritik Chris Smalling yang menjadi punca jari­ngan Newcastle selepas bek kanan England itu sengaja merebahkan badan untuk memberi sepakan bebas kepada pasukan lawan.

Jonjo Shelvey mengambil sepakan bebas dan Smalling dilayangkan kad kuning, tenda­ngan Shelvey ditanduk oleh Florian Lejeune sebelum Dwight Gayle menghantar bola untuk disempurnakan Ritchie.

“Saya tidak mahu merungut. Saya tidak gemar merungut terhadap pengadil dalam situasi begini, namun saya sangat kecewa dengan pertahanan saya.

“Saya tidak tahu sama ada sepakan bebas tersebut adalah punca kekalahan kami, namun apa yang pasti pemain saya tewas dalam perebutan bola di udara.

“Saya dapat lihat pemain Newcastle melompat sementara dua pemain Uni­ted sekadar melihat dan tidak melompat, kemudian gagal merebut bola kedua,” katanya. – AGENSI