Turun dengan reputasi selaku juara kejohanan sulung pada 2013, Iraq nyata pasukan lebih baik dengan permainan tersusun serta kemas, sekali gus memberi amaran kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee, cabaran lebih getir bakal menanti dalam dua perlawanan berikutnya menentang Jordan (Sabtu) dan Arab Saudi, Selasa depan.

Berikrar untuk tidak dijadikan ‘lubuk’, skuad muda negara bagaimanapun bergelut untuk menangani kepantasan yang dimiliki Iraq apabila ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama.

Gawang Malaysia yang diketuai penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim bolos seawal minit kelima hasil tandukan Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili, sebelum dibolosi sekali lagi pada minit ke-28 menerusi rembatan kaki kanan Amjed Attwan Kadhim.

Tiga pertukaran dilakukan Kim Swee pada separuh masa kedua dengan harapan dapat membantu kebangkitan Malaysia, malangnya tidak banyak yang mampu dilakukan oleh pasukan negara apabila Iraq terus agresif melancarkan serangan dan menjadikan kedudukan 3-0 menerusi Alaa Ali Mhawi pada minit ke-56.

Sedikit tentangan berjaya diberikan oleh pemain negara yang merapatkan jurang 1-3 menerusi Muhammad Safawi Rashid, namun gol tersebut tidak mampu menaikkan semangat anak-anak buah Kim Swee.

Ketika permainan berbaki sembilan minit untuk ditamatkan, mereka sekali lagi menerima tamparan apabila dibolosi buat kali keempat menerusi Hussein Ali Jasim Al-Saedi. - UTUSAN ONLINE