Menurut media Bri­tain, penyerang Guinea, Naby Keita bersedia untuk terbang ke Anfield minggu ini jika Liverpool sanggup membayar tambahan 13 juta pound (RM70 juta) yang diminta kelab Jerman, RB Leipzig.

Akhbar Daily Mail melapor­kan, kedua-dua pasukan sebelum ini sudah mencapai persetujuan bahawa Keita akan melapor diri di Anfield pada Julai, 2018 dengan yuran perpindahan 50 juta pound (RM270 juta).

Bagaimanapun kelab Bundesliga itu sedar, Reds kini terdesak untuk mencari pengganti Coutinho.

Keita, 22, menjaringkan lapan gol dan tujuh gerakan gol dalam 31 perlawanan liga musim lalu.

Selain Keita, skuad bimbingan Jurgen Klopp juga dikaitkan dengan pemain tengah Sepanyol, Dani Ceballos yang sedia dilepaskan oleh Real Madrid, manakala penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG), Kevin Trapp menafikan be­rita dia akan menyertai Reds.

Dalam perkembangan lain yang turut menarik perhatian, Everton mengetepikan Southampton sebagai destinasi pilihan pemain sayap England, Theo Walcott yang hampir pasti akan me­ninggalkan Arsenal.

Biarpun Gunners cuba mengekalkan pemain berusia 28 tahun itu, namun kegagalan mendapat tempat dalam kesebelasan utama mendorong Walcott meninggalkan Emirates menerusi perpindahan yang mampu mence­cah 20 juta pound (RM107 juta).

Penyerang Chile, Alexis Sanchez yang diletak di bangku simpanan ketika Arsenal seri 0-0 dengan Chelsea dalam separuh akhir pertama Piala Liga hari ini terus menjadi subjek utama untuk menyertai Manchester City.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dikatakan sudah mengintai bintang penyerang Bordeaux, Malcom sebagai calon pengganti Sanchez dan bersedia menawarkan 45 juta pound (RM242 juta) untuk pemain antarabangsa Brazil itu. – AGENSI