Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pemain berusia 19 tahun itu adalah antara aset terbaik yang dihasilkan 'kilang' Kedah, namun menganggap perkara itu normal dan sering berlaku dalam pasukan.

"Memang Kedah akan terasa kehilangan Muhammad Akhyar sebab dia datang dari kilang Kedah tetapi biasa lah Kedah memang macam itulah.

“Bukan sekali ini sahaja tetapi sudah banyak pemain kita yang ditawar bermain di peringkat nasional dan akhirnya, kita tak dapat kembali selepas mereka selesai tugas (bersama skuad kebangsaan).

"Sepatutnya baliklah ke Kedah (dahulu) dan kemudian baru kita berurusan kalau ada pasukan yang mahukan khidmat dia," katanya selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkat negeri anjuran bersama Yayasan Salam Malaysia dan Philip Morris (Malaysia) Sdn. Bhd. di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Jawatankuasa Status FAM semalam mengumumkan, mesyuarat kali kesembilan bagi penggal 2017-2021 pada Isnin lalu memutuskan Muhammad Akhyar dibenarkan untuk menebus kontrak bersama Kedah dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Justeru, mana-mana pasukan yang menandatangani kontrak pemain itu, dikehendaki untuk membayar kepada responden iaitu KFA sebanyak RM75,000 sebagai pampasan latihan.

Sebelum ini, Muhammad Akhyar yang dikaitkan akan dilamar Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa kesnya ke FAM selepas gagal mencapai persetujuan bersama KFA berhubung kontraknya yang masih berbaki setahun.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, KFA amat mengalu-alukan perpindahan Muhammad Akhyar sekiranya pemain itu mahu berhijrah ke peringkat antarabangsa bagi mendapat lebih banyak pendedahan.

"Kalau dia terima tawaran contohnya mahu bermain di Thailand, itu kita sangat galu-alukan (kerana) itu baik untuk dia. Tetapi kalau dia nak pindah ke satu lagi pasukan di Malaysia juga maka ia tertakluk di bawah perjanjian sedia ada kerana kontrak dengan Kedah belum habis lagi.

"Jadi, mana-mana pasukan lain yang beria-ia mahukan dia, kenalah berurusan dengan KFA dan tak bolehlah hanya berurusan dengan pemain sahaja kerana kita perlu ikut undang-undang," ujarnya.

Sehubungan itu, Mukhriz berharap, satu rundingan profesional perlu diadakan pada masa depan agar tiada mana-mana pemain yang boleh meninggalkan pasukan sesuka hati.- UTUSAN ONLINE