Kemampuan Rusia menangani dua isu tersebut menimbulkan tanda tanya, biarpun pihak berkuasa negara itu berulang kali memberi jaminan keselamatan terhadap semua pasukan serta peminat yang bakal bertandang sepanjang sebulan kejohanan berlangsung.

Antara tindakan yang diambil pihak berkuasa Rusia adalah ‘menyenarai hitam’ samseng bola sepak dan semua penyokong yang terlibat dalam pergaduhan ketika Kejohanan Eropah (Euro) 2016 di Perancis.

Apa yang membimbangkan, kira-kira 10,000 peminat England akan datang ke Rusia, dan negara itu mempunyai sejarah permusuhan dengan penyokong bola sepak tuan rumah.

Penyokong Rusia dan England bergaduh di luar stadium ketika kedua-dua negara berentap dalam Euro 2016 di Marseille.

Penyokong England mendakwa, samseng bola sepak Rusia bergerak secara tersusun, malah mendapat bantuan serta latihan khas.

Beberapa bulan lalu, stesen penyiar Britain, BBC turut menyiarkan program Russia’s Hooligan Army dengan menemu bual beberapa penyokong Rusia yang meramalkan bakal berlaku‘festival keganasan’ ketika Piala Dunia berlangsung.

“Ada kalanya ia akan menjadi pesta bola sepak, ada kalanya ia akan menjadi pesta keganasan,” kata salah seorang peminat kepada BBC ketika ditemuramah berhampiran stadium Rostov, antara venue Piala Dunia 2018.

BBC turut bercakap dengan anggota Orel Butchers iaitu kumpulan penyokong tegar Lokomotiv Moscow yang didakwa melakukan keganasan ketika Euro 2016.

Seorang pemimpin kumpulan itu meramalkan akan ada tindakan keras oleh pihak berkuasa Rusia dan memberitahu BBC: “Mereka perlu menundukkan semua ketua yang mampu menganjurkan pergaduhan”.

Sekali pun kawalan keselamatan ketat bakal dikenakan, Orel Butchers percaya ‘100 peratus’ yang sesetengah peminat di Rusia tetap akan cuba menganjurkan serangan terhadap penyokong England.

Selain masalah keganasan, isu perkauman turut diberi perhatian serius oleh penganjur.

Menurut badan bola sepak dunia, FIFA, mereka menggunakan tiga prosedur dalam menangani masalah itu, termasuk memberi kuasa kepada pengadil menghentikan perlawanan jika terdapat diskriminasi berterusan daripada penyokong atau pemain.

Beberapa pemain bukan kulit putih yang beraksi dalam liga Rusia sering mengadu menjadi mangsa perkauman penyokong, malah pada Mac lalu Kesatuan Bola Sepak Rusia (FRU) didenda 22,000 pound (RM117,557) oleh FIFA gara-gara dendangan nyanyian monyet penyokong mereka terhadap pemain Perancis dalam aksi persahabatan.

Paul Pogba, Ousmane Dembele dan N’Golo Kante turut menjadi mangsa ejekan dalam perlawanan itu.