Kira-kira 30 orang yang kebanyakannya memakai sarung muka, bertindak memecah masuk Publicis Drugstore dan kemudian mencuri botol minuman keras sambil tersenyum dan segelintir daripada mereka sempat merakamkan gelagat sendiri menerusi telefon bimbit.

Terdapat dalam kalangan anak muda tersebut yang melontarkan objek termasuk botol serta kerusi ke arah anggota polis yang bertindak melepaskan gas pemedih mata.

“Ini bukan caranya anda meraikan kejayaan,” kata seorang lelaki yang menyarung jersi Perancis dengan linangan air mata.

Ribuan penyokong akhirnya secara beransur-ansur meninggalkan kawasan yang popular itu, setelah polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan kumpulan pencetus masalah itu sekitar pukul 11.30 malam (5.30 pagi waktu Malaysia).

Di lokasi lain di Perancis, pihak berkuasa berkata, pemberontakan telah berlaku di selatan Lyon membabitkan pihak polis dan kira-kira 100 anak muda yang bertindak liar memanjat kenderaan polis di kawasan terbuka yang menayangkan siaran langsung perlawanan akhir tersebut.

Polis telah melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan anak-anak muda itu yang bertindak balas dengan membaling objek dan membakar tong sampah, sehingga mencetuskan suasana panik.

Seramai 10 orang ditangkap di Marseille, di mana dua anggota pasukan keselamatan mengalami kecederaan akibat keganasan yang berlaku, kata seorang jurucakap polis.

Di Frouard pula, sebuah bandar di timur Nancy, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan dua kanak-kanak perempuan berumur enam tahun mengalami kecederaan serius selepas dilanggar motosikal sewaktu penyokong meraikan kejayaan skuad bola sepak Perancis.

Pihak berkuasa berkata, penunggang motosikal tersebut telah melarikan diri dari tempat kejadian.

Sementara itu, di tenggara bandar Annecy, pihak polis berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun mati selepas lehernya patah kerana melompat ke dalam terusan yang cetek sebaik wisel penamat perlawanan dibunyikan pengadil.

Seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an terkorban apabila kereta yang dipandunya melanggar sebuah pokok ketika meraikan kejayaan Les Bleus selepas perlawanan di sebuah bandar kecil, Saint-Felix di utara Perancis. - AFP