Pemain antarabangsa Belgium berusia 26 tahun itu diberi kebenaran memanjangkan cuti rehat selepas negaranya menamatkan saingan Piala Dunia di kedudukan ketiga, tetapi dia sepatutnya dijadualkan kembali bagi memulakan sesi latihan selepas Chelsea tewas 0-2 kepada Manchester City dalam aksi Piala Perisai Komuniti.

Courtois menyertai Chelsea dari kelab Belgium, Genk pada 2011 dan kemudian menghabiskan masanya selama tiga musim dipinjamkan ke Atletico Madrid sebelum kembali ke Stamford Bridge untuk menggantikan Petr Cech.

Pemain itu berulang kali telah menyatakan hasratnya untuk berada dekat dengan dua anaknya di ibu negara Sepanyol itu dan dengan tempoh setahun kontrak berbaki, Chelsea kini berisiko kehilangan penjaga gol tersebut dengan yuran perpindahan yang lebih rendah pada Januari atau dia dilepaskan secara percuma musim panas akan datang.

Eden Hazard, yang hanya akan tamat kontrak pada 2020, turut menjadi sasaran Real sejak sekian lama, tetapi penyerang itu hadir di pangkalan latihan kelab dekat Cobham, semalam.

Bos Chelsea, Maurizio Sarri, yang menggantikan Antonio Conte bulan lalu mengakui, Jumaat lalu dia tidak pasti sama ada Courtois akan kekal ataupun tidak.

“Setakat ini, Courtois merupakan penjaga gol kelab Chelsea. Saya tidak tahu pada masa depan. Terpulang kepada kelab. Sebenarnya ia lebih bergantung kepada keputusannya sendiri, itu pandangan saya.

“Tetapi, saya berharap Courtois akan kekal menjadi penjaga gol kami. Amat penting untuk kami mengekalkan pemain tonggak,” kata Sarri. - AFP