Wenger dikritik hebat oleh peminat The Gunners yang mahu pengurus Arsenal itu segera me­ninggalkan pasukan kesayangan mereka selepas diaibkan menerusi agregat 2-10 kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara, 8 Mac lalu.

Kekalahan kepada skuad kendalian Tony Pulis itu menyebabkan Arsenal berdepan kesukaran untuk mendekatkan diri dengan kelompok empat pasukan ter­atas selepas berada di kedudukan kelima, kurang lima mata dengan Liverpool yang berada di tangga keempat.

Bagaimanapun, The Gunners masih mempunyai baki dua perlawanan dalam tangan.

Dalam perlawanan tersebut, The Gunners mendominasi permainan bagaimanapun itu tidak menghalang tuan rumah untuk berada di depan seawal minit ke-12 menerusi tandukan Craig Dawson berpunca daripada sepakan penjuru, Nacer Chadli.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Arsenal mula merencana strategi dan usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang Chile, Alexis Sanchez berjaya menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian.

Penyerang West Brom, Jose Salomon Rondon hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-31.

Namun, percubaannya gagal menemui sasaran dan situasi sama turut dihadapi oleh Arsenal tetapi percubaan Aaron Ramsey selang dua minit kemudian dinafikan oleh penjaga gol tuan rumah, Ben Foster.

Bersambung babak kedua, Arsenal terus mendominasi perlawanan namun itu tidak memberi sebarang makna apabila tuan rumah berjaya menggandakan jaringan menerusi jaringan Hal Robson-Kanu pada minit ke-56.

West Brom seharusnya berterima kasih kepada pertahanan, Dawson apabila pemain berusia 26 tahun itu meledak gol ketiga The Baggies pada minit ke-75 selepas menanduk masuk hasil hantaran lintang, James McClean.

Biarpun Arsenal terus me­nguasai permainan sehingga babak terakhir permainan namun tiada sebarang jaringan yang berjaya dihasilkan malah percubaan yang dilakukan oleh The Gunners gagal menembusi gawang lawan mereka. – AGENSI