Gol yang disempurnakan menerusi tandukan dalam babak kedua permainan di Wembley itu, menyaksikan skuad bimbingan Wenger keciciran enam mata daripada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.

Gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara untuk musim depan dengan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik bakal menjadi satu lagi tamparan hebat buat bos Arsenal, Wenger setelah pasukannya terpaksa beraksi dalam pertandingan yang kurang menarik iaitu Liga Europa penggal ini.

Wenger juga mengakui tekanan kini semakin dirasai Arsenal, lebih-lebih lagi selepas Kane menjaringkan gol yang dilihat sebagai satu usaha membalas dendam ekoran keputusan Gunners yang pernah menolak bakatnya sewaktu diusia remaja.

“Kami tidak boleh tewas dalam perlawanan ini, ia akan menjadi lebih sukar buat kami. Kami perlu berjuang kerana banyak yang perlu kami pertaruhkan berbanding pertemuan derby ini, sebab itu, ia amat mengecewakan.

“Memang cukup menghampakan kerana keutamaan kami ialah beraksi dalam Liga Juara-Juara dengan memastikan kami berada di kelompok empat terbaik. Saya bukanlah peminat kepada pasukan yang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara menerusi kejayaan menjuarai Liga Europa.

“Cara tersebut tidak betul, tetapi peluang berkenaan perlu kami manfaatkan sebaik mungkin,” kata Wenger.

Pertembungan, semalam, amat mengecewakan Wenger, yang mana skuad bimbingannya gagal menyerlah untuk satu tempoh yang agak lama dengan dua pemain yang baharu ditandatangani Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan gagal menyinar dalam aksi sulung mereka pada perlawanan derby London.

Nasib malang Arsenal di laman lawan menentang pasukan dalam kelompok lima terbaik, setelah gagal melakar sebarang kemenangan dalam 16 perlawanan terakhir, membuat Wenger berang terhadap ketumpulan jentera serangan dan aksi goyah benteng pertahanan yang membuka laluan kepada Kane menanduk masuk bola hasil hantaran silang Christian Eriksen.

“Kami gagal memanfaatkan peluang menerusi serangan balas, yang mana ia sukar diterima pada peringkat ini. Kemudian, sebaik separuh masa kedua bermula kami hampir menerima padah yang lebih buruk. Pada peringkat ini mental anda perlu kuat untuk menyampurnakan peluang,” katanya. - AFP