Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, sekiranya surat pe­lepasan itu dikeluarkan mereka, ia bermakna badan induk bola sepak Kedah itu bersetuju dengan urusan perpindahan Akhyar.

“KFA tak setuju... Jadi apabila kami tidak bersetuju, kami rasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri akan keluarkan (surat pelepasan sementara),” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Semalam, Kevin yang me­ngadakan pertemuan dengan wakil KFA di ibu negara berkata, Akhyar bebas beraksi buat JDT meskipun belum mendapat surat pelepasan KFA.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Mohd. Asmirul Anuar berkata, KFA juga tidak akan berganjak dan kekal dengan pendirian untuk membawa kes membabitkan Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tanpa mahu mendedahkan tarikh sebenar pihaknya memfailkan kes, beliau berkata, barisan peguam yang dilantik sedang membuat penelitian akhir.

“Kita mempunyai pendirian yang sama seperti sebelum ini dan tidak akan membuat 'U turn', KFA hanya mengikuti proses undang-undang biasa dan me­nyerahkan kepada peguam untuk menilai dan melihat kes ini.

“Sebaik sahaja difailkan di CAS, kita juga tidak akan membuat kenyataan-kenyataan menerusi media lagi dan segala pertanyaan berkaitan kes itu boleh merujuk kepada barisan peguam KFA,” katanya.

Mengulas mengenai klausa tambahan berkaitan perpindahan pemain, ujarnya, pihak pengurusan KFA telah menyediakan perjanjian yang lebih baik dengan meletakkan jumlah tertentu mengikut potensi pemain muda mereka.