Kedah, juara tiga kali beraksi garang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila membenam tuan rumah, Terengganu 3-0 menerusi jaringan trio import, Liridon Krasniqi, Ken Ilso dan Sandro Mendonca.

Kemenangan itu membolehkan skuad Lang Merah yang dibimbing jurulatih sementara, Nidzam Adha Yusoff mara ke final secara agregat 4-0.

Pahang, yang kali terakhir muncul juara Piala FA pada 2014 pula menyingkirkan pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan secara agregat 3-1 selepas menang 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Jaringan Tok Gajah, yang menang tipis 1-0 dalam separuh akhir pertama di Kuantan dihasilkan oleh pemain import dari Korea Selatan, Heo Jae-won, seawal minit keenam dan Christie Jayaseelan pada waktu kecederaan. - UTUSAN ONLINE