Sebaik wisel permulaan ditiupkan, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bertali arus namun kekentalan benteng pertahanan masing-masing menggagalkan sebarang usaha untuk menembusi gawang gol.

Seawal minit ketiga, skuad Lang Merah berpeluang mencipta jaringan pertama namun rembatan Farhan Roslan yang melakukan tindakan susulan daripada sepakan percuma berjaya didakap kemas Helmi Eliza Elias.

Penyokong tuan rumah hampir dikejutkan oleh pemain tengah Tok Gajah, Safuwan Baharudin yang melakukan tendangan bebas daripada luar kotak penalti pada minit ke-30, namun sepakan itu sedikit melewati palang ketika Ifwat Akmal Che Kassim sudah tertewas.

Penyerang Kedah, Fernando Rodriguez turut memiliki dua peluang pada minit ke-40 dan ke-42, namun Helmi Eliza yang tenang mengawal pintu gol Pahang berjaya menggagalkan percubaan.

Memasuki separuh masa kedua, aksi seimbang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dengan pemain import Pahang, Lazarus Kaimbi terlebih dahulu menguji pintu gol Kedah pada minit ke-46.

Bagaimanapun, tiada jaringan dihasilkan sehingga perlawanan tamat dengan keputusan seri 0-0.- UTUSAN ONLINE