Perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang itu menyaksikan Ken Ilso muncul wira Kedah apabila berjaya meledak dua gol sebelum Syazwan Zainon menjaringkan gol ketiga skuad Lang Merah.

Kedah berada di depan seawal minit ketujuh selepas penyerang dari Denmark. Ilso mudah menolak masuk bola ke dalam gawang berpunca daripada hantaran Mohd. Rizal Ghazali sebelum menjaringkan gol kedua selang tujuh minit kemudian.

Dua gol Selangor hadir menerusi percubaan penyerang Red Giants, Rufino Segovia yang meledak dua gol masing-masing pada minit ke-53 dan minit ke-71. Gol ketiga Kedah dijaringkan Syazwan pada minit ke-68.

Dalam pada itu, di Stadium Hang Jebat menyaksikan Mela­ka United dibelasah 1-4 oleh Johor Darul Ta’zim. Bekas penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar meledak dua gol masing-masing pada minit ketujuh dan ke-33.

Melaka United cuba bangkit pada minit ke-45 menerusi jaringan Marco Simic bagaimanapun JDT terus menggandakan jaringan hasil percubaan Natxo Insa pada minit ke-68 dan Safiq Rahim lima minit sebelum tamat.

Sementara itu, Felda United turut menempah laluan berliku bagi aksi timbal balik selepas tumpas 1-3 kepada PKNP FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Penyerang muda PKNP, Muhd Shahrel Fikri Mohd Fauzzi mempamerkan prestasi cemerlang dalam perlawanan tersebut selepas melakukan jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-11 minit ke-45 dan minit ke-68.

Gol saguhati tuan rumah dija­ringkan oleh Hadin Azman pada minit ke-77.