Pasukan pelawat mendahului seawal minit ketujuh melalui pemain import Liridon Krasiqi yang menyepak bola masuk ke gawang selepas menerima hantaran lintang, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Gol itu membangkitkan semangat Kedah menggandakan asakan ke kubu lawan.

Hasilnya, pada minit ke-15, Muhammad Akhyar Abdul Rashid menyempurnakan peluang dengan menguis memperdayakan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirulah Razali untuk gol kedua Kedah.

Tuan rumah mengurangkan jurang gol apabila pemain import Flavio Beck Junior melakukan rembatan leret ke kiri gol Kedah pada minit ke-75.

Negeri Sembilan yang menurunkan pemain import baharu, Alex De Moraes Gomes berasal dari Sepanyol gagal menembusi kubu pertahanan pelawat.

Tuan rumah yang mengharapkan sentuhan Mohd. Asri Ninggal selepas menyingkirkan Mohd. Azraai Khor Abdullah, Khamis lalu masih gagal menemui sentuhan berbisa.

Perlawanan malam ini turut disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Aminuddin Harun.