Pengendalinya, Nidzam Adzha Yusoff berkata, hanya kemenangan mampu memberikan kelegaan kepada Lang Merah untuk menambah mata dan mengukuhkan kedudukan sekali gus mara ke pusingan seterusnya.

Katanya, pesta gol ketika bertandang di Stadium Hang Jebat dengan menewaskan Melaka United 6-2 satu keputusan yang tidak dijangka namun beliau berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dalam aksi itu.

“Kita tahu tuan rumah tidak menurunkan pasukan terkuat kerana mereka ada misi lebih penting di Liga Super, namun kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh pasukan kami untuk raih kemenangan penting.

“Kita juga berbangga dengan prestasi pemain muda yang ditunjukkan dalam perlawanan ini di tempat lawan kerana mereka membantu pasukan. Nyata pertukaran pemain di pertengahan babak kedua juga mengubah corak permainan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nidzam mengakui perebutan kedudukan juara dan naib juara dalam kumpulan C juga sengit namun beliau tetap optimis dengan pasukannya selain tidak kisah lawan bakal ditemui di antara juara dan naib juara Kumpulan D.

Katanya, sama ada Selangor yang telah menempah tiket ke suku akhir atau pun Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal ditemui nanti, Kedah tiada pilihan untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Apa yang penting perlawanan akan datang yang bakal kita tempuhi, selepas mengumpul 12 mata barulah kita kata boleh atau benar-benar layak,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan itu Kedah menang besar ke atas Melaka United untuk terus unggul di tangga teratas Kumpulan C dengan kutipan sembilan mata.

Gol Lang Merah diraih menerusi Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-5, Sandro Da Silva (minit 35 dan minit 39), Akram Mahinan (minit 45), Ken Ilso Larsen (minit 77) dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-90.

Sementara itu, gol Melaka United dijaringkan Azinee Taib pada minit ke-21 dan Mohd. Fauzi Roslan minit ke-53.