Kejuaraan edisi pertama yang dianjurkan antara kedua-dua badan induk bola sepak itu akan diadakan secara giliran dengan Kedah akan menjadi tuan rumah kali ini, diikuti pertembungan di Perak tahun depan.

Menyuarakan keyakinan, Kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, beliau dan rakan-rakan termasuk barisan pemain import baharu akan mempamerkan persembahan bermutu di hadapan penyokong sendiri dan seterusnya menjulang piala yang melambangkan perpaduan antara kedua-dua pasukan itu.

"Apa yang kita tahu Perak adalah pasukan kuat yang dibarisi pemain kebangsaan dan jurulatih berkualiti, manakala Kedah boleh dikatakan ada perubahan baharu dengan suasana, semangat dan kombinasi yang berbeza.

"Jadi, apa yang penting kami akan bermain dengan baik, berikan apa yang kami ada kerana Kedah mahu menjulang piala ini sebagai edisi permulaan di Darul Aman," katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan piala tersebut di sini hari ini.

Bagi pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, skuadnya mengambil serius perlawanan tersebut dan anak-anak buahnya akan memberi tentangan sengit kepada Perak yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia.

"Apa yang saya harapkan daripada pemain dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini akan diterjemahkan dalam pertembungan menentang Perak, malah kami juga akan menurunkan pemain-pemain import baharu yang pastinya dinanti-nantikan penyokong.

"Persiapan rapi telah diadakan untuk pertemuan ini kerana perlawanan ini juga adalah ujian yang terbaik kepada pasukan dan saya berharap keputusan baik akan memihak kepada Kedah," katanya.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengganggap Piala Unity Shield tidak berbeza dengan kejohanan-kejohanan utama lain dalam Liga Malaysia dan skuad Bos Gaurus bersedia mempamerkan persembahan berkualiti dalam perlawanan itu.

"Terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana menjemput kami untuk berada dalam sebahagian perlawanan ini, kami amat menghargainya dan menyokong idea pengenalan Piala Unity Shield antara pasukan Perak dan Kedah.

"Perak akan menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan itu dan bermain dengan penuh semangat untuk mendapatkan keputusan yang baik," katanya.

Kapten Perak, Nazirul Naim Che Hashim pula berkata, keserasian pasukan yang dibarisi kebanyakan pemain tahun lalu tidak akan menimbulkan masalah besar untuk memberi tentangan dalam perlawanan itu memandangkan mereka sudah mengenali corak permainan masing-masing.

Peminat kedua-dua pasukan yang mahu menyaksikan perlawanan itu boleh mendapatkan tiket terbuka berharga RM10 dan RM20 bagi astaka utama yang akan mula dijual pada pukul 10 pagi, Ahad ini. - UTUSAN ONLINE