Dalam perlawanan tersebut, Lang Merah yang sekadar seri 1-1 sudah cukup untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas mempunyai bekalan selesa 3-1 ketika aksi suku akhir pertama di tempat lawan, sebelum ini.

Tirai jaringan Kedah dibuka pada minit ke-16 apabila penyerang sensasi mereka, Jonatan Bauman bijak memanfaatkan hantaran lintang Fernando Rodriguez dari sebelah kiri pintu gol PKNS.

Tersentak dengan jaringan itu, PKNS cuba bangkit bagi menghidupkan sisa peluang mereka untuk merapatkan jurang jaringan melalui beberapa percubaan menarik.

Hasilnya, mereka berjaya meraih satu gol berpunca jaringan sendiri pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof yang tertampan ke gawang selepas gagal mengeluarkan bola tendangan Gabriel Guerra pada minit ke-31.

Memasuki separuh masa kedua, Kedah dan PKNS saling mengasak ke kubu lawan untuk mencipta jaringan seterusnya, namun kedudukan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat yang menyaksikan Kedah layak secara agregat 4-2. -UTUSAN ONLINE