Sebelum ini, empat ‘ubi’ Kedah iaitu istilah untuk pemain muda berbakat besar menjalani sesi latihan selama sebulan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) di Akademi Cardiff City dan pulang ke tanah air pada Khamis lalu.

Mereka adalah Mohd. Fazrul Danel dan Mohammad Asri yang sudah kembali melapor diri bersama skuad Liga Super manakala Aminuddin dan Mohamad Suhaimie pula dari pasukan Piala Presiden Kedah.

Setiausaha Eksekutif KFA, Sharul Samsudin berkata, mereka akan terus memberikan perhatian khusus kepada program pembangunan dengan menghantar lebih ramai pemain muda Kedah ke luar negara.

Kata Shahrul, KFA dijangka mengintai pemain dari kelompok B-17 untuk diketengahkan sama ada ke Cardiff City atau kelab Australia, Perth Glory.

“Sebenarnya program ini telah bermula sejak 2015 dan ini penghantaran kali kedua yang mana kita mengambil dua pemain daripada pasukan Liga Super dan Piala Presiden.

“Dalam masa sebulan, mereka berlatih dengan skuad B-23 Cardiff City dan program ini adalah projek pembangunan jangka masa panjang KFA.

“Sebenarnya KFA ada dua program sejak 2015 dengan Cardiff City dan Perth Glory. Kita telah dua kali menghantar pemain ke kedua-dua kelab.

“Mungkin selepas ini ada lagi pemain Piala Belia atau bawah 17 tahun akan dihantar ke salah satu daripada kelab tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Blueprint 50 Tahun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE