Kedah layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan C selepas mengalahkan Kelantan 2-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi, manakala Selangor terpaksa berpuas hati muncul naib juara Kumpulan D selepas tumpas 1-3 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin.

Pahang pula terpaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan slot ke suku akhir selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas T-Team dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Darul Makmur, sekali gus menempah pertemuan dengan Perak yang menang 2-1 ke atas Felda United di Stadium Perak.

Melaka United yang masih bernasib baik berjaya melangkah ke suku akhir biarpun kalah mengejut 3-5 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC dalam aksi terakhir Kumpulan C bakal berdepan laluan getir apabila bertemu JDT.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang menjadi kejutan terbesar Piala Malaysia kali ini selepas layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan A bakal bertemu naib juara Kumpulan B, Felda United. - UTUSAN ONLINE