Jaringan penalti Sando Da Silva pada minit ke-30 sudah memadai buat Lang Merah untuk mara dengan agregat 4-2 secara keseluruhan.

Keputusan itu menyaksikan Kedah bakal berdepan cabaran Felda United yang turut melangkah ke saingan empat terbaik selepas menundukkan PKNP 4-1 di Stadium Shah Alam untuk mencatatkan agregat 5-4.

Hyen Woon Kim terlebih dahulu meletakkan PKNP di hadapan menerusi jaringan seawal minit ketujuh sebelum Wan Zack Haikal meledak jaringan penyamaan pada minit ke-35.

Ifedayo Olusegun meletakkan The Fighters di hadapan dua minit kemudian sebelum Wan Zack Haikal meledakkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu sebelum masuk waktu rehat dan Zah Rahan Krangar memastikan kemenangan Felda United tiga minit selepas babak kedua bermula.

Juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga tidak berdepan masalah untuk ke saingan empat pasukan terakhir selepas seri 1-1 dengan Melaka United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos bagi melengkapkan agregat 6-2.

Gol pertama JDT diperoleh pada minit ke-21 menerusi Nazmi Faiz Mansor yang menyempurnakan hantaran Hazwan Bakri di hadapan pintu gol.

Sementara itu, gol penyamaan Melaka diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-43 yang disempurnakan pemain import Almeida Souza. 
Kejayaan itu menyaksikan JDT bakal berdepan cabaran Perak yang juga mara selepas mengetepikan Pahang 4-0 untuk melengkapkan agregat kemenangan 5-3 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak.

Dalam aksi itu, Gilmar Filho memainkan watak penting memacu kejayaan The Bos Gaurus apabila meledak dua gol pada minit kedua dan ke-62.

Kenny Pallaraj kemudian meletakkan tuan rumah selesa di hadapan menerusi jaringan ketiga pada minit ke-77 sebelum Nazrin Nawi melengkapkan kemenangan bergaya The Bos Gaurus pada masa kecederaan.