Kedah layak ke saingan akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Sta­dium Tun Razak, Jengka, minggu lalu.

JDT pula layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia mencatat kemenangan 3-0 ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru untuk me­ngumpul agregat 4-1 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dalam separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh.

Selaku penyandang juara, Kedah turun menentang Felda United dengan memberikan aksi cukup menarik di hadapan penyokong sendiri menerusi beberapa serangan yang mengancam pasukan pelawat walaupun tanpa kehadiran tiga pemain utama namun tonggak import Sandro Da Silva memastikan kemenangan Kedah menerusi jaringan minit ke-71 dan 85.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pula, JDT berjaya mengekang kemaraan The Bos Gaurus dengan dua jaringan oleh Gabriel Guerra pada minit ke-57 dan 80 serta satu jaringan Gabriel Guerra pada minit ke-74.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengulangi pencapaian pada tahun 2014 dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil namun tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti.

JDT bakal bertemu Kedah dalam perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Shah Alam pada 4 November ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Mohd, Nidzam Adha Yusoff merakamkan tahniah kepada anak-anak buahnya yang berjaya mengikut arahan diberikan sehingga mampu menghasilkan dua jaringan di laman sendiri.

"Pemain bijak mengawal permainan walaupun tanpa pemain utama termasuk perancang Liridon Krasnigi sehingga mampu membuat serangan balas yang menghasilkan gol," katanya.

Mengenai perlawanan akhir menentang JDT, Mohd. Nidzam berkata, ia sesuatu yang manis kerana permulaan saingan Kedah telah bertemu dengan pasukan itu dalam perlawanan Sumbangsih.

"Jadi, menutup saingan musim ini pula, sekali lagi kami jumpa JDT, sudah tentu ia manis bagi Kedah dan kami akan memberikan aksi terbaik," katanya.