Tindakan skuad Lang Merah itu dianggap berita baik buat The Red Warriors (TRW), yang bertandang ke Alor Setar bersama misi ‘hidup mati’ kerana wajib pulang dengan kemena­ngan atau bakal tersingkir.

Selepas mengharungi lima perlawanan, Kedah unggul dengan 12 mata, manakala Melaka United di tangga kedua menerusi sembilan mata. Kelantan berkedudukan ketiga dengan enam mata, diikuti UiTM FC keempat (tiga mata).

Kelantan perlu menang dengan gol sebanyak yang boleh, sambil berharap Melaka kalah mengejut kepada UiTM FC di Shah Alam.

“Kita akan rehatkan semua pemain kebangsaan. Hanya mereka yang terlibat dalam Sukan SEA dan pemain import bakal diturunkan esok.

“Kelantan pasti datang dengan keazaman besar selepas tewas 0-5 (Liga Super pada 26 Julai) sebelum ini, jadi kita perlu berhati-hati,” kata jurulatih Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff kepada Utusan Malaysia.

Tujuh tonggak Kedah dipanggil dalam kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, Selasa lalu iaitu Farhan Abu Bakar (penjaga gol), Rizal Ghazali, Khairul Helmi Johari, Fitri Omar (pertahanan), Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Akram Mahinan (tengah).

Sementara itu, dalam satu lagi aksi tumpuan, Pahang tidak boleh me­lakukan kesilapan apabila me­nerima kunjungan T-Team di Stadium Darul Makmur atau bakal ditunjukkan jalan keluar.

Tok Gajah berada di tangga kedua Kumpulan A de­ngan enam mata, empat mata di belakang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang sudah mengesahkan tiket suku akhir.

Kekalahan akan membuka laluan kepada T-Team mengiringi PKNP, malah Negeri Sembilan juga masih berpeluang.