Biarpun menguasai permainan pada separuh masa pertama, namun gawang Kedah yang terlebih dahulu dibolosi hasil jaringan pemain import dari Singapura, Faris Ramli.

PKNS membuka tirai jaringan menerusi larian solo Faris Ramli sebelum melakukan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, pada minit ke-30.

Kedudukan itu hanya bertahan selama dua minit apabila Kedah dihadiahkan sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan Qayyum Marjoni Sabli.

Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi menyempurnakan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan.

Pada separuh masa kedua, PKNS sekali lagi mendahului Kedah, apabila Mahali Jasuli meletakkan PKNS di hadapan pada minit ke-45.

Namun Kedah menyamakan kedudukan melalui tendangan cantik oleh Liridon sebelum Kedah mendahului 3-2 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan PKNS. K. Reuben tertampan bola hantaran Baddrol Bakhtiar ke gawang sendiri.

Kedah seterusnya melebarkan kedudukan kepada 4-2, apabila Muhammad Ariff Farhan Md Isa memperkukuhkan kedudukan Kedah pada masa kecederaan sebelum disusuli jaringan gol ketiga PKNS oleh Mahali.- UTUSAN ONLINE