Dua jaringan penyerang kelahiran Brazil, Sandro Mendonca dan satu gol menerusi Syazwan Zainon serta Akram Mahinan menghadiahkan kekalahan liga keempat berturut-turut buat Selangor.

Kekalahan terbaharu ini juga menyaksikan Reds Giants dibolosi 14 gol keseluruhan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.

Selangor tidak pernah menang ke atas Kedah sepanjang tujuh tahun sejak saingan Liga Super 2011.

Dalam satu lagi saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka United dimalukan 0-3 oleh Terengganu di depan penyokong sendiri.

Dua jaringan pasukan pelawat disempurnakan oleh penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche, manakala satu lagi disempurnakan Lee Tuck.

Kemenangan membolehkan Terengganu melonjak ke tangga kedua liga dengan mengumpul 11 mata, satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Shah Alam, dua jaringan Casagrande pada minit ke-46 dan 71, selain gol David Laly (minit ke-84) membolehkan Felcra menumpaskan Pulau Pinang 3-1. - UTUSAN ONLINE