Barca bakal berdepan Real dalam separuh akhir pertama Copa del Rey dan Valverde berkata, Messi mengadu berasa kurang selesa sewaktu menentang Valencia, selepas dia meledakkan dua gol bagi membantu pasukannya sekurang-kurang membawa pulang satu mata.

“Kami perlu menunggu sehingga esok bagi menjalani ujian sejauh mana seriusnya kecederaan yang dialami. Setakat ini, saya masih belum dimaklumkan apa-apa. Kami harap dia sempat pulih, seperti mana pemain lain,” kata Valverde.

Ketika ditanya lanjut berhubung kecederaan yang menimpa Messi, Valverde berkata, dia sendiri tidak tahu mengenai perkara tersebut.

“Kalau saya tahu, saya akan maklumkan kepada anda semua, tetapi saya memang tidak tahu. Dia ada sedikit masalah, seperti mana yang menimpa pemain lain. Kami akan tunggu dan lihat apa kata doktor dan bila mereka akan menjalani pemeriksaan. Kami tidak boleh meneka apa-apa, tetapi apa yang boleh saya bagi tahu ia tidaklah seburuk yang disangka,” ujarnya.

Ketiadaan Messi di Camp Nou bakal memberi tamparan hebat buat Barcelona, terutamanya bintang Argentina itu kini berada pada prestasi terbaiknya. Dia meledakkan dua gol menentang Valencia dan ini bermakna, Messi kini menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut, serta mengumpul 12 gol sepanjang tempoh itu. – AFP