Ketua jurulatih Melaka United, Mat Zan Mat Aris berharap, dia masih dapat menurunkan barisan terkuat dalam perlawanan tersebut, apatah lagi lawan mereka kini berada dalam prestasi terbaik selepas memenangi dua perlawanan pertama Liga Perdana.

Menurut Mat Zan, biarpun beberapa pemain dihimpit masalah kecederaan, namun dia percaya pemain-pemain tempatan dan import yang ada dapat memainkan watak serta peranan masing-masing untuk membawa pulang kemenangan.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyaingi Kuala Lumpur dan saya harap sesiapa pun yang akan diturunkan dalam perlawanan itu dapat memberi komitmen yang tinggi kepada pasukan.

“Kami juga melihat keyakinan pemain berada di tahap yang tinggi, dan pasukan ini juga ada strategi tersendiri untuk menghadapi lawan,” katanya di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini semalam.