Walaupun Spurs seharusnya meraikan kejayaan menewaskan Bournemouth 4-1 hari ini, mereka sebaliknya menerima perkhabaran kurang baik apabila penyerang England itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-34 selepas bertembung dengan penjaga gol lawan Asmir Begovic ketika bersaing untuk mendapatkan bola hantaran lintang Christian Eriksen.

Insiden itu berlaku ketika Spurs sedang ketinggalan selepas Junior Stanislas membuka tirai jaringan namun seluruh pasukan dari London itu masih mampu mengimbangi kekuatan lawan dan bangkit tanpa khidmat Kane.

Satu gol daripada Dele Alli dan Serge Aurier serta dua jari­ngan Son Heung-min menyempurnakan kebangkitan Spurs, sekali gus me­ngubati sedikit kekecewaan akibat kegagalan ke suku akhir Liga Juara-juara setelah tumpas kepada Juventus minggu lalu.

Walau bagaimanapun, kemenangan itu tidak dapat mengatasi rasa bimbang Pochettino dan Spurs yang kini berdebar menunggu laporan daripada pasukan per­ubatan mengenai status kecedera­an Kane.

“Saya memikirkan tentang Kane. Hingga esok, tiada apa yang dapat kami sahkan.

“Saya berharap (kecederaan Kane) tidak melibatkan masalah besar dan dia dapat kembali membantu pasukan mengharungi baki persaingan musim ini,” kata Pochettino.

Sementara itu Son merekodkan jaringan peribadi­nya yang ke-11 dan 12 dalam liga musim ini dan prestasi cemerlang pemain dari Korea Selatan itu dilihat mampu menampung ketiadaan Kane buat sementara.

“Saya rasa dia sedang melalui kempen yang menakjubkan iaitu musim terbaik sejak tiba di sini. Dia membantu pasukan meraih tiga mata. Saya sangat gembira dan teruja dengan pres­tasi yang ditampilkannya,” ujar Pochettino. – AGENSI