Kata pengendali dari Jerman itu, selagi trofi juara liga belum berada di tangan City, selagi itulah Liverpool tidak boleh diketepikan lagi begitu sahaja sedangkan ketinggalan 0-3 pun, anak buahnya masih mampu bangkit melakukannya.

“Minggu terakhir liga (domestik) belum lagi berakhir. Pada pandangan kami, ia mungkin mampu menjadi detik terbesar minggu ini seperti mana yang kami tunjukkan ketika menang 4-0 ke atas Barcelona di separuh akhir Liga Juara Juara tempoh hari.

“Mungkin ramai yang menyangka saya akan duduk di sini dengan berkata, ok kami sudah tidak layak ke final Liga Juara Juara. Jadi sukar untuk muncul juara liga perdana pula.

“Tetapi itu bagaimanapun tidak berlaku kerana kami sudah layak ke final Eropah namun untuk muncul juara liga masih tetap sukar,” kata Klopp mengimbau bagaimanapun skuad bimbingannya tidak diletakkan harapan untuk melakukan keajaiban sebelum ini.

City akan menentang Brighton pada aksi terakhir liga perdana musim ini esok dan perlu menang untuk merangkul kejuaraan buat musim kedua berturut-turut. Tetapi jika seri atau kalah, Liverpool yang akan menentang Wolverhampton akan berpeluang muncul juara liga buat kali pertama sejak 1990 jika menang.

Sehubungan itu Klopp menegaskan, apa-apa sahaja boleh berlaku ketika tekanan yang dihadapi sedang memuncak termasuk tidak mustahil City gagal mencatat kemenangan ke atas Brighton yang ketika ini menghuni tangga corot liga.

"Kami pula hanya perlu menang di laman sendiri, Jadi fokus itu bukan masalah kami terus catat kemenangan demi kemenangan sebelum ini,” tegasnya yang mengesahkan Mohamed Salah, Andy Robertson dan Jordan Henderson akan tetap diturunkan walaupun beraksi dalam kesakitan akibat cedera apabila melayan kunjungan Wolves nanti. - AFP