Masih dihantui kecederaan bahu yang dialaminya ketika final Liga Juara Juara Eropah menentang Real Madrid bulan lalu, kelibat penyerang berusia 25 tahun itu langsung tidak kelihatan sekaligus mengecewakan jurugambar dan peminat yang mahu merakam dan melihat aksinya berlatih.

Salah jelas sedang bergelut untuk pulih seperti yang diharapkan terutama menjelang aksi pembukaan peringkat Kumpulan A menentang Uruguay di Ekaterinburg pada 15 Jun ini di mana dia dijangka masih belum boleh diturunkan.

Namun beliau ternyata masih ghairah dan tidak sabar untuk beraksi semula sebaik tiba dari Kaherah bersama pemain lain dan jurulatih mereka dari Argentina, Hector Cuper di daerah Chechen di sini.

“Saya agak teruja. Bersyukur dengan izin tuhan persiapan saya berjalan lancar dan moral saya tetap tinggi. Saya tidak tahu sejauh mana kami mampu mara tetapi semua pemain begitu bercita-cita tinggi. Harap kami dapat keputusan yang baik,” kata Salah.

Seramai 8,000 penyokong dan penduduk tempatan datang ke stadium yang menjadi pusat latihan Mesir termasuk beberapa pelajar perubatan negara itu yang belajar di sini semata-mata mahu menyaksikan bintang pujaaan mereka itu berlatih.

Sementara itu doktor pasukan Mesir, Mohamed Abou al-Ela mengesahkan, Salah tidak akan diturunkan berdepan Uruguay tetapi mungkin ketika menentang Rusia pada 19 Jun dan Arab Saudi pada 25 Jun. – AFP