Liverpool akan melawat Porto untuk pertemuan pertama peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-juara esok dan Karius, yang dijangka bermain, yakin kelab dari Merseyside itu mampu mengatasi kelab Portugal berkenaan.

“Bermain perlawanan kedua di tempat sendiri boleh menjadi satu kelebihan besar kepada kami.

“Tetapi untuk menjadikannya satu kelebihan maka kami perlu meletakkan diri kami pada kedudukan yang bagus,” katanya.

Karius dan Simon Mignolet telah bersaing untuk menjadi penjaga gol utama Li­verpool di bawah bimbingan pengurus Jurgen Klopp, tetapi ketika ini penjaga gol dari Jerman itu nampaknya menjadi pilihan utama.

Karius telah dipilih berada dalam kesebelasan utama Li­verpool sejak lima perlawanan liga yang lalu dan pemain tersebut turut membantu pasukannya meraih tiga kemenangan.

“Saya berasa amat bagus ketika ini dan aksi konsisten saya dalam perlawanan amat membantu untuk memperbaiki prestasi semasa.

“Dalam beberapa perlawanan lalu saya berupaya menyelamatkan percubaan tepat dan itu menambah keyakinan saya.

“Saya mempunyai banyak pengalaman dan apabila anda bermain secara konsisten maka akan membantu tahap prestasi semasa,” katanya.

Pada Sabtu lalu Karius membantu pasukannya menang 2-0 ke atas Southampton, dengan dibantu oleh pemain pertahanan Virgil van Dijk.

“Virgil telah mempamerkan aksi yang cukup baik sebagai pemain pertahanan dan saling membantu antara satu sama lain.

“Bagi saya dia adalah seorang pemain yang hebat dan peranan pemain pertahanan amat pen­ting buat sesebuah pasukan,” kata Karius. – REUTERS