Bekas pemain dan pembantu jurulatih penjaga gol Mohamad Rosfaizul Azuar Ali berkata, ekoran masalah itu, rata-rata pemain yang terdiri daripada pemain muda kini melakukan kerja kampung, bekerja di pusat cuci kereta dan menjadi pemandu Grab.

Lebih menyedihkan, kata­nya, ada antara bekas pemain yang keretanya ditarik kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.

“Rata-rata pemain Kuantan FA adalah orang muda dan baru sahaja karier hendak berkembang masalah ini berlaku. Tiada pasukan lain hendak ambil ke­rana belum dikenali.

“Apa yang kami mahu adalah pihak pengurusan tertinggi Kuantan FA segera melunaskan tunggakan gaji kami yang majoritinya antara 10 bulan ke 12 bulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.

Sementara itu, bekas pegawai pasukan itu Rizal Budiman, 45, berkata, masalah tunggakan gaji tersebut bermula sekitar November 2016 dan berterusan sepanjang musim 2017 lalu.

Katanya, gaji diterima mereka antara RM2,000 hingga RM12,000 dan tunggakan ditanggung pihak pengurusan pasukan itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM3 juta.

“Kami buntu kerana masalah ini terus berlarutan. Kami telah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Jaya, dekat Maran semalam sebagai rujukan pihak berkaitan terutama pihak pe­ngurusan terus berdiam diri setiap kali kami meminta penjelasan berhubung isu ini.

“Kami sudah banyak bertolak ansur dan bersabar demi menjaga nama baik persatuan, namun pengorbanan kami seolah-olah langsung tidak dihargai pihak pengurusan Kuantan FA,” katanya.