Terry, 36, mengumumkan keputusan untuk bersara pada hujung musim ini ketika kelab London itu berada di ambang merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bekas tonggak pertahanan dan ketua pasukan England itu telah beraksi dalam lebih 700 perlawanan bersama Chelsea dan kapten paling cemerlang buat kelab ber­kenaan.

“John telah berkhidmat lebih dua dekad bersama kelab ini.

“Sepanjang bersama kami dia telah menyarung jersi Chelsea dengan penuh bangga selain membantu pasukan meraih pelbagai kecemerlangan,” kata Chelsea dalam satu kenyataan.

Terry telah membuat 578 penampilan sebagai kapten Chelsea dan menjaringkan 66 gol.

“Selepas 22 tahun, banyak yang hendak diperkatakan dan saya perlu mengucapkan terima kasih kepada ramai orang, terutama kepada kelab bola sepak yang hebat ini.

“Daripada jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan kakitangan serta penyokong yang banyak menyokong saya sepanjang karier. Ucapan terima kasih sahaja tidak memadai.

“Saya akan membuat keputusan mengenai masa depan, tetapi buat masa sekarang saya hanya mahu membantu pasukan melakar kejayaan musim ini,” kata Terry

Pada musim ini, Terry hanya membuat empat penampilan dalam saingan Liga Perdana yang menyaksikan Chelsea berada di tangga teratas dengan kelebihan empat mata.

“Jiwa saya sentiasa bersama Blues biarpun akan menamatkan karier sebagai pemain Chelsea musim ini.

“Saya juga berpendapat keputusan untuk melangkah keluar dari kelab ini pada hujung musim amat tepat buat saya dan kelab,” katanya lagi. – REUTERS