Gol tunggal perlawanan tersebut dijaringkan oleh Kane selepas menyambut baik hantaran lintang Kyle Walker pada minit terakhir permainan.

Pemain berusia 24 tahun yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu itu meledak 14 gol dalam sembilan penampilan bersama kelab dan negaranya.

Ketika ini Kane sudah menjaringkan 11 gol sepanjang 22 penampilan bersama Three Lions dan merupakan satu-satunya penyerang berkualiti yang dimiliki oleh Southgate.

Bagaimanapun, Kane me­ngambil sikap merendah diri apabila berkata England memiliki pemain yang berkualiti dan mampu meringankan bebannya di Rusia nanti.

“Ini bukan melibatkan saya sahaja tapi keseluruhan pasukan. Kami perlu bekerjasama dalam satu unit dan secara fizikalnya saya berasa hebat kerana setiap perlawanan saya mampu menjaringkan gol dan saya perlu meneruskannya.

“Bagaimanapun saya tidak mahu berada terlalu jauh dengan diri sendiri dan begitu juga dengan pasukan. Saya perlu meneruskan apa yang saya lakukan untuk kelab dan negara begitu juga dengan tahun depan.

“Kami tidak boleh meletakkan batasan dengan apa yang kami mahukan, kami perlu pergi ke sana dan lihat apa yang bakal berlaku,” kata Kane.

Dalam pada itu, rakan se­pasukannya, Gary Cahill berasa lega dengan prestasi cemerlang Kane terutamanya penyudahnya di hadapan gol lawan sehingga meletakkan England di puncak.

Bagaimanapun, pertaha­nan Chelsea itu bersetuju dengan Kane bahawa England mempunyai pemain berkualiti di setiap bahagian dalam usaha mereka menempah tiket ke Rusia.

“Dia berada di tahap terbaik dan pastinya keyakinan Kane memuncak. Dia mesti berasa dia akan menjaringkan gol pada setiap perlawanan. Tidak semua pemain sepertinya, ‘berapa banyak gol saya akan lakukan pada hari ini? Dia mesti mempunyai mentaliti seperti itu.

“Kami mahu dia berada di tahap terbaik namun kami mahu semua pemain memberi sumbangan. Apabila menyertai kejohanan kami mahu semua pemain mempunyai tahap keyakinan seperti Kane pada ketika ini,” kata pertahanan England itu. AFP