Pemain kebangsaan England itu memanfaatkan hantaran lintang pemain pertahanan Ben Davies pada minit ke-49 untuk mengatasi penjaga gol Petr Cech dan meraih golnya yang ke-23 musim ini.

Gol itu juga merupakan yang ketujuh dijaringkan oleh Kane sepanjang tujuh perlawanan liga menentang Arsenal, kelab yang membuangnya ketika muda.

Kane juga merupakan hero ketika Spurs menundukkan Arsenal awal musim lalu.

Kekalahan tersebut bermakna Arsenal terpaksa menelan kepahitan selepas tewas tiga kali berturut-turut selaku pasukan pelawat.

Perlawanan yang berlangsung di Wembley itu susulan Stadium White Hart Lane sedang dinaik taraf juga menyaksikan Kane hampir meletakkan Spurs di depan pada minit ke-45, bagaimanapun tandukannya sekadar mengenai tiang gawang Arsenal.

Skuad Gunners hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan menerusi pemain gantian Alexandre Lacazette, namun rembatannya di dalam kotak penalti meliar.

Kekalahan itu bagaimanapun masih mengekalkan skuad bimbingan Arsene Wenger di anak tangga keenam, ketinggalan lima mata di belakang Chelsea yang menghuni tempat kelima. – AGENSI