Malah, pengurus Three Lions itu juga memberi bayangan, penyerang Tottenham, Harry Kane bakal menggantikan Wayne Rooney sebagai kapten baharu England pada Piala Dunia di Rusia tahun depan.

Kane tidak disenaraikan dalam pertemuan dengan Jerman dan kelayakan Piala Dunia menentang Lithuania, Ahad ini akibat kecederaan ligamen buku lali, namun Southgate percaya, pemain berusia 24 tahun itu memiliki kualiti untuk memimpin pasukan.

“Harry memiliki kualiti sebagai pepimpin. Dia mempunyai keazaman tinggi, mampu berfikir bijak secara individu dan sentiasa komited dalam memperbaiki prestasi diri serta pasukan. Dia mengharungi satu lagi musim yang menakjubkan.

“Dia sudah beraksi di peringkat tertinggi (Liga Juara-Juara) untuk musim ketiga berturut-turut dan jaringannya semakin bertambah.

“Saya belum berkesempatan melantiknya menjadi ketua pasukan (Kane turut cedera ketika Southgate bertindak sebagai jurulatih sementara pada Oktober dan November), namun tanggungjawab ini nampak sesuai buatnya.

“Dia sering melontarkan pandangan dan selesa bercakap di depan sekumpulan pemain,” katanya lagi.

Rooney disisihkan daripada skuad England pada dua perlawanan terdekat kerana gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Manchester United sejak akhir-akhir ini.

Penyerang berusia 32 tahun itu juga mencetus kontroversi dalam penampilan terakhir bersama England pada November tahun lalu apabila gambarnya di bawah pengaruh alkohol bersama peminat di hotel penginapan pasukan disiarkan oleh akhbar-akhbar utama Britain.

Walaupun ada yang menganggap perbuatan Rooney tiada salahnya, namun ia tetap memberi imej buruk kepada skuad kebangsaan dan pemain itu gagal menunjukkan contoh yang bagus sebagai seorang ketua pasukan.

Pemain pertahanan Everton, Phil Jagielka turut dilihat bergambar bersama Rooney manakala laporan mengenai pemain-pemain yang berpesta menyusul selepas insiden berkenaan.

“Apa yang mereka lakukan akan sentiasa menjadi tajuk perbualan dan mereka tidak sepatutnya melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan prestasi.

“Tekanan akan menghantui pemain jika perbuatan mereka tiba-tiba menjadi tajuk utama akhbar pada keesokan hari,” kata Southgate lagi. – AGENSI